Maklumat Sekolah




A.   Sejarah Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi

Persekolahan di Tebing Tinggi ini telah bermula sebelum Perang Dunia ke-2 lagi. Pada mulanya ia diasaskan oleh pihak Ladang Getah Tebing Tinggi untuk anak-anak buruh. Buat permulaannya bangunan sekolah ditumpang di sebuah bangsal tempat mengasuh di ladang ini.

         Persekolahan telah berhenti buat sementara apabila berlaku Perang Dunia ke-2 tetapi dalam masa pemerintahan Jepun diadakan pula sekolah untuk belajar bahasa Jepun dan berjalan sehingga Jepun meninggalkan Tanah Melayu.

Dalam masa pemerintahan B.M.A, sekolah telah dibuka semula, kali ini diasaskan oleh ibubapa di Kusial Bharu dan Tebing Tinggi. Pada permulaannya dibuka dengan bangsal usang sebagai bangunan sekolah yang terletak berhampiran dengan pekan Kusial Bharu dengan jumlah murid 26 orang di bawah pengajaran seorang guru yang bernama Mohd Amin b. Isa. Cikgu Mohd Amin telah bersara di SK Rantau Panjang pada 31 Disember 1977.

Dalam tahun 1946, pihak ibu bapa telah berikhtiar menjadikan satu bangunan sekolah di kawasan tapak Majlis Tempatan Kusial Bharu sekarang ini. Bangunan ini bertiangkan batang pinang dan beratapkan nipah. Pada pertengahan tahun 1946, pihak Jabatan Pelajaran Kelantan mengambil alih pentadbiran sekolah ini dari sekolah rakyat menjadi sekolah kerajaan. Seorang guru besar yang terlatih telah dihantar ke sekolah ini iaitu Tuan Hj. Nik Abdullah bin Hj. Nik Daud dan beberapa orang guru penolong dihantar berkhidmat di sekolah ini. Oleh sebab terlalu ramai murid maka pada tahun 1947, pihak ibu bapa telah berikhtiar mendirikan satu bangunan yang agak besar di tanah kepunyaan Ladang Tebing Tinggi yang terletak berhampiran Jalan Kusial Bharu ke Tanah Merah. Bangunan ini didirikan dengan menggunakan kayu bulat dan beratap nipah. Perjalanan murid-murid ke sekolah amat menyedihkan terutamanya pada musim hujan kerana jalan ini digunakan oleh orang-orang kampung membawa lembu dan ternakan. Oleh kerana itu pihak ibu bapa sekali lagi berikhtiar mencari tapak yang sesuai. Akhirnya pihak Ladang Tebing Tinggi di bawah pengerusinya L. L. White telah membenarkan tanah ladangnya seluas 8 ekar 20 depa dijadikan tapak sekolah iaitu sekolah sekarang.

Bangunan ini hanya dapat digunakan tahun 1951 kerana bangunan ini selalu dipukul ribut. Pada awal tahun 1951, sekolah ini telah menghasilkan beberapa orang muridnya dapat menjawat guru pelatih untuk berkhidmat dengan kerajaan. Setelah bangunan ini runtuh, murid-murid menumpang bangunan di Ladang Tebing Tinggi. Sekali lagi pihak ibu bapa berikhtiar untuk mendirikan bangunan baru.

Akhirnya dengan kesepakatan, ibubapa bersetuju membuka loteri dan wang $8,000.00 terkumpul. Pada tahun 1952, terdirilah bangunan yang agak sempurna dengan berlantaikan simen dan berdindingkan papan serta beratapkan zink dengan sumbangan Jabatan Pelajaran. Perbelanjaan kira-kira $11,000.00. Dalam tahun 1954, Tuan Hj. Nik Abdullah bin Hj. Nik Daud yang banyak berjasa kepada sekolah ini bersara dan diganti oleh Nik Muhammad bin Nik Abdul Kadir. Pada tahun 1956, cikgu Nik Muhammad bertukar ke sekolah lain dan diganti oleh Harun bin Ali. Pada masa beliaulah sekolah ini dipukul ribut dan ranap menyembah bumi.

Sekali lagi, murid-murid terpaksa belajar di merata-rata tempat. Oleh itu satu peruntukan darurat disediakan dan satu bangunan baru didirikan. Beberapa orang guru besar yang banyak berjasa ialah Abdul Latif bin Abdul Rahman dan Tuan Hj Latif bin Abdul Rahman. Akhirnya pada tahun 1974, pihak Kementerian Pelajaran mendirikan satu bangunan tambahan dua tingkat dengan tujuh bilik darjah, satu bilik perpustakaan, satu bilik guru, pejabat, bilik guru besar, tandas dan stor serta sebuah kantin. Bangunan ini siap pada tahun 1976. Ianya mula digunakan pada awal penggal ketiga tahun itu. Pembukaan rasminya telah dibuat pada 25 September 1978 bersamaan 22 Syawal 1398 Hijrah oleh Yang Berhormat Tuan Hj. Salleh bin Jafaruddin iaitu Timbalan Pelajaran pada masa itu

Sumber rujukan: Buku Pengurusan SKTT2010




B.    Visi
Kecemerlangan dan pendidikan murid yang berkualiti tinggi



C.     Misi

*Semua murid lulus dalam ‘UPSR’

*Semua murid boleh menguasai kemahiran 3M di Tahap 1

*Melahirkan individu yang berakhlak mulia, bersemangat waja, yakin diri, bertanggungjawab serta penampilan diri yang kemas,   bersih dan ceria.

*Penyertaan murid yang menyeluruh dalam semua aspek kesukanan bagi melahirkan murid cergas, aktif fizikal dan mental serta mengembangkan bakat sedia ada.







No comments:

Post a Comment